marilah ikut saya ke Prasekolah


Selasa, 20 November 2012

Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan



Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan tidak sama dengan Kurikulum yang lain. Pendidikan prasekolah berfokus kepada usaha menyediakan peluang pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna kepada kanak- kanak yang berumur empat hingga enam tahun. Fokus utama adalah proses pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan kanak- kanak, menekankan kepada inkuiri penemuan dan menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran bersepadu, bertema, belajar melalui bermain, pembelajaran kontekstual dan pembelajaran berasaskan projek.
Prinsip utama yang digunakan adalah pendekatan dan kandungan pembelajaran perlu sesuai dengan peringkat perkembangan kanak- kanak dan mengambil kira perbezaan antara individu. Melalui proses pengajaran dan pembelajaran ini, kanak- kanak akan memperoleh konsep dan kemahiran asas yang akan membantu mereka meneruskan pemebelajaran di sekolah rendah kelak.
Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan digubal dengan memberikan penekanan kepada Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran yang patut diketahui dan boleh dilakukan oleh kanak- kanak prasekolah. Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran berpaksikan pengetahuan, kemahiran asas dan nilai dalam Enam Tunjang Pembelajaran berikut:
1.      Tunjang Komunikasi
Tunjang ini terdiri daripada Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris adalah wajib dipelajari oleh semua murid prasekolah. Bahasa Cina dan Bahasa Tamil dipelajari oleh murid di prasekolah yang beraliran Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Fokus utama tunjang ini adalah kemahiran dalam bahasa dan seni bahasa yang merangkumi kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan kemahiran menulis. Bahan yang digunakan perlulah sesuai dengan peringkat usia dan perkembangan kanak- kanak tersebut. Dalam kemahiran seni bahasa pula merujuk keupayaan murid mengungkap keindahan bahasa melalui pelbagai aktiviti seperti syair, drama dan sajak.
2.      Tunjang Kerohanian
Tunjang kerohanian , sikap dan nilai merangkumi Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Pendidikan Islam dipelajari oleh murid islam dan Pendidikan Moral dipelajari oleh murid bukan islam. Pendidikan Islam memberi kemahiran asas tentang Rukun Iman, Sirah Rasulullah dan kalimah syahadah, bersuci, berwudhuk, melakukan pergerakan solat, mencontohi akhlak Rasulullah, mengenal asas Bahasa Al-Quran dan huruf jawi serta menghafaz surah- surah pendek dan doa pilihan. Pengajaran dan pembelajaran ini diajar melalui aktiviti bercerita, simulasi, menyanyi, bernasyid dan sebagainya. Manakala Pendidikan Moral pula memberi fokus kepada pelakuan moral yang dipupuk secara berterusan sepanjang masa murid berada di sekolah.
3.      Tunjang Ketrampilan Diri
Tunjang ini memberi penekanan kepada perkembangan sosioemosi kanak- kanak. Mereka akan menghadapi masalah di prasekolah dan juga di sekolah rendah jika sosioemosi mereka kurang stabil dan mantap. Perkembangan ini merangkumi aspek mengenali dan mengurus emosi sendiri, pencapaian emosi yang positif, pembinaan konsep kendiri yang positif serta pembinaan kemahiran berinteraksi dan kemahiran sosial. Perkembangan ini berlaku sepanjang masa kanak- kanak berada di prasekolah. Ianya tidak dicapai melalui aktiviti spesifik tetapi kesemua aktiviti sama ada semasa  aktiviti rutin, rehat, makan dan juga semasa aktiviti p&p dijalankan.
4.      Tunjang Perkembangan Fizikal Dan Estetika
Pada peringkat prasekolah, kanak- kanak juga memerlukan aktiviti yang boleh menguatkan kawalan otot mereka. Berdasarkan Tunjang Fizikal Dan Kesihatan, amatlah penting bagi mereka memantapkan perkembangan tubuh badan dengan melakukan aktiviti seperti memegang pensel atau berus untuk menulis atau melukis, penglibatan dalam aktiviti sukan, aktiviti memainkan alatan muzik dan pengendalian peralatan yang lain. Tunjang ini menyediakan peningkatan kemahiran motor halus, motor kasar serta koordinasi mata- tangan di kalangan mereka. Ianya juga merangkumi teknik melompat, menyambut objek, membaling objek serta postur badan yang betul semasa duduk.
Tunjang ini juga bukan sahaja memberi kemahiran anggota badan sahaja malah ia juga merangkumi pembinaan dan penekanan amalan penjagaan kesihatan fizikal diri, kebersihan alam persekitaran dan pemakanan yang berkhasiat. Secara lazimnya kanak- kanak yang mempunyai badan yang sihat dapat memberi tumpuan yang lebih baik kepada proses pembelajaran dan mempunyai konsep kendiri yang positif. Tunjang ini juga menekankan aspek kemahiran menjaga keselamatan diri dari sumber bahaya yang boleh menyebabkan kemalangan dan bahaya kepada diri sendiri termasuklah langkah menjaga kehormatan diri.
Perkembangan Kreativiti termasuk di dalam tunjang ini. Ianya merangkumi seni visual, muzik, drama dan gerakan kreatif. Di sini kanak- kanak diberi peluang untuk menzahirkan idea mereka sendiri secara kreatif dan melibatkan diri dalam aktiviti kreativiti. Pendidikan muzik merangkumi aktiviti menyanyi, pengalaman awal untuk memainkan perkusi, penghasilan muzik melalui bahan atau objek improvisasi dan aspresiasi muzik.
5.      Tunjang Sains Dan Teknologi
Tunjang ini terbahagi kepada dua iaitu Awal Sains dan Matematik. Aawal sains adalah kemahiran yang menyediakan peluang kepada kanak- kanak untuk meneroka alam sekitar mereka menggunakan organ deria dan peralatan mudah. Dalam proses penerokaan ini, sikap saintifik yang positif seperti sifat ingin tahu, sistematik dan teliti akan terbentuk. Kemahiran proses asas sains seperti kemahiran memerhati, mengukur menggunakan unit bukan piawai, membanding dan mengelas.
Bagi Awal Matematik pula, pendedahan membekalkan pengalaman awal matematik kepada murid prasekolah termasuklah konsep pranombor, nombor, operasi nombor yang mudah, nilai wang, konsep waktu, bentuk dan ruang. Konsep ini dipelajari pada masa khas dan juga disepadukan ke dalam semua aktiviti pembelajaran bertema menggunakan kaedah yang menyeronokkan.
6.      Tunjang Kemanusiaan
Tunjang ini memberi peluang kepada kanak- kanak supaya lebih memahami diri sendiri, memahami perhubungan antara diri dan keluarga, rakan, komuniti dan alam sekitar. Kanak- kanak juga akan lebih memahami tanggungjawab diri dalam perhubungan itu. Tunjang ini juga memberi penekanan kepada pemahaman budaya dan tradisi pelbagai kaum di Malaysia serta menggalakkan penglibatan dalam perayaan pelbagai kaum ini.

2 ulasan: