Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan tidak
sama dengan Kurikulum yang lain. Pendidikan prasekolah berfokus kepada usaha
menyediakan peluang pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna kepada kanak-
kanak yang berumur empat hingga enam tahun. Fokus utama adalah proses
pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan kanak- kanak, menekankan kepada
inkuiri penemuan dan menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran
bersepadu, bertema, belajar melalui bermain, pembelajaran kontekstual dan
pembelajaran berasaskan projek.
Prinsip utama yang digunakan adalah pendekatan
dan kandungan pembelajaran perlu sesuai dengan peringkat perkembangan kanak-
kanak dan mengambil kira perbezaan antara individu. Melalui proses pengajaran
dan pembelajaran ini, kanak- kanak akan memperoleh konsep dan kemahiran asas
yang akan membantu mereka meneruskan pemebelajaran di sekolah rendah kelak.
Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan
digubal dengan memberikan penekanan kepada Standard Kandungan dan Standard
Pembelajaran yang patut diketahui dan boleh dilakukan oleh kanak- kanak
prasekolah. Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran berpaksikan
pengetahuan, kemahiran asas dan nilai dalam Enam Tunjang Pembelajaran berikut:
1.
Tunjang Komunikasi
Tunjang ini terdiri daripada Bahasa Malaysia,
Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Bahasa Malaysia dan Bahasa
Inggeris adalah wajib dipelajari oleh semua murid prasekolah. Bahasa Cina dan
Bahasa Tamil dipelajari oleh murid di prasekolah yang beraliran Bahasa Cina dan
Bahasa Tamil. Fokus utama tunjang ini adalah kemahiran dalam bahasa dan seni
bahasa yang merangkumi kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan kemahiran
menulis. Bahan yang digunakan perlulah sesuai dengan peringkat usia dan
perkembangan kanak- kanak tersebut. Dalam kemahiran seni bahasa pula merujuk
keupayaan murid mengungkap keindahan bahasa melalui pelbagai aktiviti seperti
syair, drama dan sajak.
2.
Tunjang Kerohanian
Tunjang kerohanian , sikap dan nilai
merangkumi Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Pendidikan Islam dipelajari
oleh murid islam dan Pendidikan Moral dipelajari oleh murid bukan islam.
Pendidikan Islam memberi kemahiran asas tentang Rukun Iman, Sirah Rasulullah
dan kalimah syahadah, bersuci, berwudhuk, melakukan pergerakan solat,
mencontohi akhlak Rasulullah, mengenal asas Bahasa Al-Quran dan huruf jawi
serta menghafaz surah- surah pendek dan doa pilihan. Pengajaran dan
pembelajaran ini diajar melalui aktiviti bercerita, simulasi, menyanyi,
bernasyid dan sebagainya. Manakala Pendidikan Moral pula memberi fokus kepada
pelakuan moral yang dipupuk secara berterusan sepanjang masa murid berada di
sekolah.
3.
Tunjang Ketrampilan Diri
Tunjang ini memberi penekanan kepada
perkembangan sosioemosi kanak- kanak. Mereka akan menghadapi masalah di
prasekolah dan juga di sekolah rendah jika sosioemosi mereka kurang stabil dan
mantap. Perkembangan ini merangkumi aspek mengenali dan mengurus emosi sendiri,
pencapaian emosi yang positif, pembinaan konsep kendiri yang positif serta
pembinaan kemahiran berinteraksi dan kemahiran sosial. Perkembangan ini berlaku
sepanjang masa kanak- kanak berada di prasekolah. Ianya tidak dicapai melalui
aktiviti spesifik tetapi kesemua aktiviti sama ada semasa aktiviti rutin, rehat, makan dan juga semasa
aktiviti p&p dijalankan.
4.
Tunjang Perkembangan Fizikal Dan Estetika
Pada peringkat prasekolah, kanak- kanak juga
memerlukan aktiviti yang boleh menguatkan kawalan otot mereka. Berdasarkan
Tunjang Fizikal Dan Kesihatan, amatlah penting bagi mereka memantapkan
perkembangan tubuh badan dengan melakukan aktiviti seperti memegang pensel atau
berus untuk menulis atau melukis, penglibatan dalam aktiviti sukan, aktiviti
memainkan alatan muzik dan pengendalian peralatan yang lain. Tunjang ini
menyediakan peningkatan kemahiran motor halus, motor kasar serta koordinasi
mata- tangan di kalangan mereka. Ianya juga merangkumi teknik melompat,
menyambut objek, membaling objek serta postur badan yang betul semasa duduk.
Tunjang ini juga bukan sahaja memberi
kemahiran anggota badan sahaja malah ia juga merangkumi pembinaan dan penekanan
amalan penjagaan kesihatan fizikal diri, kebersihan alam persekitaran dan
pemakanan yang berkhasiat. Secara lazimnya kanak- kanak yang mempunyai badan
yang sihat dapat memberi tumpuan yang lebih baik kepada proses pembelajaran dan
mempunyai konsep kendiri yang positif. Tunjang ini juga menekankan aspek kemahiran
menjaga keselamatan diri dari sumber bahaya yang boleh menyebabkan kemalangan
dan bahaya kepada diri sendiri termasuklah langkah menjaga kehormatan diri.
Perkembangan Kreativiti termasuk di dalam
tunjang ini. Ianya merangkumi seni visual, muzik, drama dan gerakan kreatif. Di
sini kanak- kanak diberi peluang untuk menzahirkan idea mereka sendiri secara
kreatif dan melibatkan diri dalam aktiviti kreativiti. Pendidikan muzik
merangkumi aktiviti menyanyi, pengalaman awal untuk memainkan perkusi,
penghasilan muzik melalui bahan atau objek improvisasi dan aspresiasi muzik.
5.
Tunjang Sains Dan Teknologi
Tunjang ini terbahagi kepada dua iaitu Awal
Sains dan Matematik. Aawal sains adalah kemahiran yang menyediakan peluang
kepada kanak- kanak untuk meneroka alam sekitar mereka menggunakan organ deria
dan peralatan mudah. Dalam proses penerokaan ini, sikap saintifik yang positif
seperti sifat ingin tahu, sistematik dan teliti akan terbentuk. Kemahiran
proses asas sains seperti kemahiran memerhati, mengukur menggunakan unit bukan
piawai, membanding dan mengelas.
Bagi Awal Matematik pula, pendedahan
membekalkan pengalaman awal matematik kepada murid prasekolah termasuklah
konsep pranombor, nombor, operasi nombor yang mudah, nilai wang, konsep waktu,
bentuk dan ruang. Konsep ini dipelajari pada masa khas dan juga disepadukan ke
dalam semua aktiviti pembelajaran bertema menggunakan kaedah yang
menyeronokkan.
6.
Tunjang Kemanusiaan
Tunjang ini memberi peluang kepada kanak-
kanak supaya lebih memahami diri sendiri, memahami perhubungan antara diri dan
keluarga, rakan, komuniti dan alam sekitar. Kanak- kanak juga akan lebih
memahami tanggungjawab diri dalam perhubungan itu. Tunjang ini juga memberi
penekanan kepada pemahaman budaya dan tradisi pelbagai kaum di Malaysia serta
menggalakkan penglibatan dalam perayaan pelbagai kaum ini.